Wednesday, December 5, 2018

Demam Denggi Melanda Jitra

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Wabak demam denggi kini telah melanda kembali kawasan Bandar Darulaman di Jitra. Kes-kes demam denggi ini telah dilaporkan berlaku di Taman Perumahan Awam dengan merekodkan empat kes setakat ini.

Taman Perumahan Awam yang telah dibina pada tahun 80-an kerap dilanda wabak demam denggi dengan purata selang beberapa tahun sahaja. Tahun ini merekodkan jumlah mangsa yang agak ramai berbanding kes-kes terdahulu yang direkodkan iaitu seramai 4 orang setakat ini.

Jabatan Kesihatan Daerah Kubang Pasu kini giat menjalankan kempen kesedaran tentang bahayanya nyamuk Ades kepada semua penduduk yang terbabit dengan menjalankan pemeriksaan dari rumah-ke rumah, menyembur asap racun, menyebarkan risalah dan mengadakan gotong-royong bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk ades.

Ketika ini, boleh dikatakan dalam seminggu, 2 atau 3 kali pegawai dari Jabatan Kesihatan Daerah Kubang Pasu akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah. Rumah yang didapati menjadi sarang pembiakan nyamuk Ades akan dikenakan denda sebanyak RM150.

Antara faktor berlakunya wabak denggi adalah keadaan perumahan tersebut yang sudah lama dan menyebabkan kebanyakan sistem perparitannya sudah tidak berfungi mengalirkan air dengan baik.

Hal ini disebabkan oleh segelintir masyarakat di situ yang tidak hiraukan tentang kebersihan kawasan rumah (depan dan belakang rumah). Kebanyakan mereka telah mengubahsuai rumah (menambah bahagian rumah di hadapan dan belakang rumah) dengan tiada perancangan yang teliti. Hal ini telah menyebabkan sistem parit banyak yang tidak berfungsi dengan baik (tersumbat) menyebabkan air bertakung apabila tiba musim hujan.

Ada segelintir daripada penduduk yang suka menyimpan barang-barang yang sudah rosak dan tidak digunakan lagi seperti motosikal lama (rosak), besi-besi buruk, botol-botol kosong serta kayu-kayan di belakang rumah menyebabkan ia antara punca pembiakan nyamuk. 

Dahulu bahagian lorong belakang rumah boleh dilalui tetapi akibat pentingkan diri sendiri oleh segelintir penduduk, laluan terbabit (lorong belakang rumah) sudah tidak boleh lagi dilalui kerana sudah mengalami penambahan bahagian rumah. Lebih memburukkan lagi, sudah tiada parit di sesetengah lorong belakang rumah.

Hal sedemikian telah mendatangkan banyak masalah bagi mereka yang tidak terlibat dengan penambahan bahagian rumah kerana masalah air parit tidak dapat mengalir dengan baik dan selalunya akan mengalami banjir kilat di beberapa buah rumah apabila hujan turun dengan lebat.

Bukan itu sahaja, malah pernah berlakunya kebakaran beberapa tahun dahulu di kawasan tersebut melibatkan 3 buah rumah. Pihak bomba ketika itu sukar menjalankan kerja-kerja memadamkan api kerana laluan dihadapan dan belakan rumah yang sempit. Mujurlah kebakaran tersebut berlaku kira-kira jam 8 malam, jika berlaku jam 2 atau 3 pagi bagaimana?

Diharap dengan kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Daerah Kubang Pasu, masalah demam denggi ini dapat diatasi, malah mampu memberi kesedaran pada setiap penduduk di situ tentang bahayanya penyakit demam denggi. Cegah sebelum parah, tiada Ades tiada denggi.

0 comments:

Post a Comment