Monday, December 3, 2018

Program Perumahan Rakyat Di Kedah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Selain daripada makan, minum, pakaian serta pekerjaan, kediaman atau rumah juga merupakan salah satu keperluan yang wajib kita miliki. Memiliki sebuah rumah amat dihajati oleh semua golongan terutamanya yang sudah berkeluarga.

Sabda Rasulullah SAW : "Antara faktor kebahagiaan seseorang Muslim adalah; rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa".(Riwayat al-Bukhari, Adab al-Mufrad)

Hari berganti hari, harga rumah kini semakin meningkat hingga ramai daripada kita yang belum memilikinya tidak berkemampuan untuk membelinya. Ambil contoh rumah di kawasan Bandar Darulaman (Jitra) dan sekitarnya, harga rumah terus melambung tinggi hingga mencecah ratusan ribu ringgit.(yang diketahui)

Antara faktor yang menyebabkan harga rumah di sekitar Bandar Darulaman mahal kerana ianya terletak di kawasan-kawasan yang membanggun seperti ada kilang-kilang perindustrian, taman tema (baru dibuka), pusat-pusat pengajian IPTA dan IPTS, Masjid, sekolah, hospital, pasaraya serta menjadi salah satu tempat tumpuan orang ramai dari daerah lain datang ke sini untuk berniaga seperti membuka gerai makanan dan sebagainya.

Boleh dikatakan ada saja projek perumahan dibina terutamanya daripada pihak swasta tetapi harga yang ditawarkan terlalu tinggi walaupun diyakini oleh pemaju sebagai rumah mampu milik. Dari sumber yang diperolehi, rumah yang dibina oleh pemaju berharga diantara RM250 ribu (sumber diketahui) dan ke atas, bagi golongan yang berpendapatan rendah ianya menjadi satu bebanan kerana tidak mampu.

Dengan kenaikkan harga rumah yang tinggi, peluang untuk memilikinya amat tipis memandangkan kos sara hidup kini semakin membebankan. Bagi mereka yang bekerja dengan purata pendapatan yang rendah di sekitar kawasan Bandar Darulaman, tentunya terpaksa menyewa rumah sekitar RM350 dan ke atas.

Kebanyakkan penyewa rumah di sekitar Bandar Darulaman terutamanya Taman Mahsuri, Taman Perumahan Awam dan Taman Setia Jaya hanya mahu menyewakan rumah pada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS sahaja kerana mampu mengaut keuntungan yang tinggi dari menyewakan rumah pada yang sudah berkeluarga. Mereka mampu menyewakan sebuah rumah kos rendah dengan harga yang tinggi sekitar RM500 dan ke atas (sumber yang diketahui) kepada para pelajar.

Sebenarnya, sudah lama dan ramai lagi dikalangan kita yang masih belum memiliki rumah dan masih menanti rumah yang dibina dengan harga yang mampu milik terutamanya oleh pihak kerajaan. Bayangkanlah, Taman Perumahan Awam (RPA) yang dibina sekitar lewat tahun 80-an yang dahulunya hanya diberi pada golongan yang berpendapatan rendah sekitar RM750 sahaja. Mengapa tidak dibina lagi rumah sedemikian bagi membantu mereka yang masih memerlukannya?

Yang ditunggu-tunggu sekian lama akhirnya telah tercapai juga hasrat untuk melihat kerajaan membantu rakyat dengan membina rumah (PPR) pertama di Mukim Naga, Jitra dan dibeberapa daerah lainnya yang berharga sekitar RM35,000 hingga RM40,000.00 seunit. Rumah mampu milik ini telah siap sepenuhnya pada 2017 dan para pemohon sudah menjalani proses temuduga bagi mereka yang berkelayakan.

Tapi apa yang mendukacitakan, temuduga sudah setahun lebih berlalu dan hingga kini apa perkembangannya tidak ada berita langsung. Walaupun negara kita baru bertukar kerajaan selepas PRU14, keputusan temuduga PPR masih diam membisu dan yang keluar hanya khabar-khabar angin saja.

Wahai pihak kerajaan dan pihak yang berwajib tidak kiralah apa parti sekalipun, bantulah kami yang memerlukan bantuan anda semua. Apa keputusan PPR tersebut? Berilah kami semua khabar berita dapat atau sebaliknya dan jangan biarkan kami ternanti-nanti. Tahun sudah berganti tahun, rumah sewa sudah silih berganti kerana anak tuan rumah hendak duduk kembali dan pelbagai lagi masalah.

Mudah-mudahan apa yang diimpikan akan tercapai pada tahun baru yang akan menjelma tidak lama lagi. Salam buat semua warga Kedah....Kedah Sejahtera.

0 comments:

Post a Comment